Jumaat, 10 Julai 2009

KOMSAS - NOVEL PERLUMBAAN KEDUA

SINOPSIS

Bab Satu
Pada satu pagi yang cerah, Sang Arnab melompat ke sana-sini dengan tangkas. Sang Kancil memuji arnab tetapi menyindir akan kekalahan arnab dalam perlumbaan dengan kura-kura suatu masa dahulu. Sang Kancil menyuruh arnab berlumba sekali lagi dengan kura-kura.
Arnab bersetuju dan menyuruh Sang Kancil mengatur perlawanan tersebut. Arnab juga mengenakan tiga syarat iaitu keputusannya muktamad dan tiada lagi perlumbaan kedua, perlawanan diadakan di darat dan seluruh warga rimba mesti menjadi saksi perlumbaan tersebut.

Bab Dua
Sang kancil memberitahu Sang Murai bahawa ia sedang mencari kura-kura. Kebanyakan binatang di hutan gembira apabila mengetahui arnab akan berlumba sekali lagi dengan kura-kura. Sang Tupai dan Sang Murai menyindir kebodohan Sang Kancil yang tidak tahu di mana kura-kura berada pada musim panas seperti sekarang.

Bab Tiga
Setelah mengumpul seluruh kaumnya. Arnab Putih menyatakan hasratnya ingin berlumba sekali lagi dengan kura-kura. Pada peringkat ada yang membantah tetapi akhirnya bersetuju apabila Arnab Putih ingin menebus maruah kerabatnya. Tempat perlumbaan yang bakal diadakan dipertikaikan oleh bapa arnab. Penentuan calon pelumba yang akan berlumba dengan arnab akan ditentukan oleh bapa arnab.

Bab Empat
Setelah sampai ke tempat kura-kura, Sang Kancil memaklumkan kepada kura-kura berdada bintik tentang hasratnya untuk berjumpa Tuk Kura. Walaupun berasa hairan tentang tujuan dan muslihat Sang Kancil untuk bertemunya, Tuk Kura tetap ingin bertemu Sang Kancil di tempat yang dijanjikan.

Bab Lima
Kelewatan Tuk Kura menyebabkan Sang Kancil merasa rimas. Tuk Kura menjelaskan bahawa kelewatannya adalah disebabkan ia melarang anak cucunya bertemu Sang Kancil kerana Sang Kancil suka menipu dan memperdaya. Sang Kancil menyatakan hasrat arnab yang ingin berlumba dengan kura-kura. Sang kancil juga menyatakan bahawa ia yang mencabar Sang arnab agar berlumba dengan Tuk kura kerana melihatkan ketangkasan arnab. Tuk Kura enggan berlumba dan meminta agar Sang Kancil sahaja yang berlumba dengan arnab. Sang Kancil enggan dan menyatakan bukan ia yang kalah dalam perlumbaan terdahulu. Sekiranya kura-kura enggan berlumba, seluruh kura-kura diminta berkumpul dan mengaku kalah. Syarat-syarat pertandingan tersebut ialah mesti diadakan di darat, cara berlumba adalah bebas. Tun Kura menyatakan keinginannya bertemu dengan arnab di padang rumput di kaki bukit pada esok hari. Semua binatang dikehendaki berkumpul untuk mendengar syarat-syarat pertandingan.